KEBUDAYAAN

Assalamualaikum dan selamat datang ke entri saya kali ini, hari ini saya akan memerihalkan secara terperinci tentang kebudayaan. Apa itu kebudayaan?  Setiap orang ada budaya yang berbeza-beza ke? Tentunya, soalan-soalan berikut bermain di fikiran anda semua apabila mendengar perkataan budaya kan.? Okay hari ini saya akan menerangkan tentang topik bab 1: Kebudayaan Melayu secara terperinci.  Seperti yang kita semua tahu setiap bangsa mempunyai kebudayaan mereka sendiri. Hal ini kerana melalui budaya yang dipraktikkan inilah melambangkan identiti setiap bangsa.

~ Jom kenali budaya kita~




1.0 Konsep Budaya

Kebudayaan merupakan tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi yang berikutnya. Kebudayaan berkaitan dengan keseluruhan sistem kehidupan yang dipraktikkan oleh sesuatu masyarakat. Dalam kebudayaan itu, terkandung unsur sosial, kepercayaan, sistem simbol, unsur teknologi, ekonomi yang menjadi milik masyarakatnya. Budaya dapat membezakan sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Budaya sesuatu masyarakat dapat menentukan keperibadian kebangsaan sesebuah negara. Di Malaysia, budaya Melayu dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan, namun unsur-unsur budaya kaum lain seperti Cina dan India turut diambil kira.

Kamus Dewan (2005) mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.
Perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya'. Perkataan 'budhi' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran dan akal. Perkataan 'daya' pula ialah perkataan Melayu Polynesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Jika dicantumkan kedua-dua perkataan tersebut, budaya membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.

Kebudayaan dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai culture,  iaitu berasal dari perkataan latin cultura. Perkataan culture diterjemahkan dengan maksud budaya, dan kebudayaan pula ialah terjemahan daripada cultural. Namun dalam kehidupan seharian, perkataan culture juga merujuk kepada kebudayaan. Dalam bahasa Mandarin, budaya disebut Wen Hua dan dalam bahasa Arab disebut Thaqafah. 

Untuk perbincangan yang lebih khusus, marilah kita teliti dan fahami istilah yang dikemukakan oleh ahli antropologi dan ahli budaya di bawah:

1. Edward B. Tylor (1871)

Budaya ialah suatu keseluruhan sistem yang kompleks, yang dalamnya terkandung unsur-unsur ilmu pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat istiadat dan kemahiran-kemahiran lain yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.

That complex whole which includes knowledge, belief, art, morals, law, custom and any other capabilities and habits acquired by man as a member of society.

2. Kroeber dan Kluckhohn, 1952; Geertz, 1973
(Ahli Sosiologi)

Budaya merujuk kepada gaya atau cara hidup manusia secara keseluruhan, termasuklah pemikiran, nilai, pengetahuan, perlakuan dan bahan material (material objects) yang dikongsi oleh mereka.

The total lifestyle of a people, including all of the ideas, values, knowledge, behaviors, and material objects that they share.

3. Thomas J. Sullivan (1993)
Budaya merujuk kepada tradisi, adat dan perlakuan seseorang.

Culture refers to that people’s traditions, customs, and behaviors.


4. Lucy Mair:
“milik bersama sesuatu masyarakat yang mempunyai tradisi yang sama”.

5. Taib Osman (1988)
Kebudayaan adalah cara hidup: Cara mengatur hidup satu-satu kelompok manusia. Lebih penting daripada perbuatan hari-hari (seperti cara makan, cara beribadah, cara menegur seseorang dan ciri-ciri lain), iaitu tanggapan alam sekitar atau world-view, dan nilai-nilai sosial atau etos kerana kedua-dua ciri inilah yang mewarnakan sesuatu budaya dan menjadi pendorong bagi tindakan manusia.

6. Pendapat Ibn Khaldun:
· Budaya merujuk kepada kebiasaan cara hidup
· Budaya membezakan manusia dengan haiwan
-Manusia mempunyai kemampuan intelek dan daya berfikir - melalui intelek, manusia dapat berhubung/memahami satu sama lain.
-Manusia dapat menyesuaikan cara hidup dengan alam sekeliling – proses penyesuaian melahirkan budaya yang berbeza-beza antara kawasan.

7. Prof. Koetjaraningrat
“Keseluruhan daripada kelakuan dan hasil kelakuan manusia yang teratur oleh tatakelakuan yang harus diperoleh dengan cara belajar.

8. Ralph L. Beats dan Harry Hoijer
“mengenal pasti kelakuan yang biasa dipraktikkan, diperoleh melalui pembelajaran oleh sekumpulan masyarakat.

2.0 Elemen Budaya
Budaya boleh dibahagi kepada dua, iaitu budaya material dan budaya bukan material. Budaya material terdiri daripada objek fizikal atau artifak. Peralatan atau kelengkapan hidup seperti rumah, kereta, perahu, senjata dan sebagainya merupakan contoh budaya material. Budaya bukan material pula ialah unsur yang tidak wujud secara fizikal (no physical existence), misalnya adat, kepercayaan, bahasa, dan nilai. 

Keris (Elemen Material)


   Keris merupakan senjata pendek yang digunakan oleh orang Melayu sejak zaman keagungan pemerintahan Kesultanan Melayu, lebih daripada 800 tahun yang lampau terutamanya oleh pendekar, pahlawan serta kalangan pembesar istana. Keris ialah suatu alat kebesaran bagi raja-raja atau lambang kekuasaan atau kedaulatan. Keris mempunyai dua belah mata, melebar dipangkal dan tirus di hujungnya serta tajam. Terdapat mata keris yang lurus dan berlok-lok dengan keindahan pamor serta hulu yang menarik dan juga sarungnya. Keris mempunyai berbagai-bagai bentuk dan ukuran. Kebanyakan keris terdiri daripada jenis yang berlok, sama ada tiga, lima, tujuh atau sembilan dan lurus. Terdapat juga keris yang panjang berukuran 61 sm dengan matanya berbentuk mata pedang seperti Keris Sundang. Aspek penting mata keris ialah rupa awan larat dan corak pamor, bentuknya dan corak berombak yang wujud daripada campuran logam dan nikel. Inilah kehebatan orang Melayu yang bijak mencampurkan bahan-bahan logam hingga terbentuknya senjata yang demikian rupa.


Adat istiadat (Elemen Bukan Material)
   Adat istiadat ialah sistem nilai yang berhubung dengan cara berfikir, pegangan hidup serta amalan sesuatu masyarakat. Tingkah laku yang diterima oleh masyarakat disebut kebiasaan dan seterusnya kebiasaan tersebut akan menjadi adat yang diterima secara bersama-sama oleh masyarakat. Adat menjadi peraturan yang dipatuhi dan dihormati oleh masyarakat yang mendukungnya tanpa paksaan. Adat ialah peraturan yang sudah diamalkan secara turun-temurun dalam masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Istiadat pula ialah cara-cara atau peraturan untuk melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan atau resam. Dalam masyarakat Melayu, ada dua bentuk adat yang penting, iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung.

3.0 Ciri-Ciri Budaya
Setiap masyarakat di dunia mempunyai budayanya yang tersendiri untuk melambangkan keperibadian, identiti dan jati diri mereka. Budaya mempunyai ciri-ciri tertentu untuk membuktikan budaya itu terbit daripada tingkah laku dan akal manusia.
Ciri yang pertama ialah budaya bersifat dinamik. Ini bermaksud budaya boleh berubah-ubah mengikut peredaran zaman untuk mencapai kemajuan dalam hidup masyarakatnya. Misalnya, masyarakat Melayu menerima kedatangan Islam dengan sifat yang terbuka sehingga menyebabkan budaya Hindu dan Buddha semakin terpinggir.
Budaya juga boleh diwarisi secara turun-temurun iaitu dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Tamsilnya, teknologi yang dihasilkan pada hari ini merupakan hasil daripada inovasi teknologi zaman dahulu. Teknologi sekarang jauh lebih canggih disebabkan oleh berlaku kemajuan dalam kehidupan masyarakat.

Kebudayaan juga mengalami proses kesinambungan. Kesinambungan biasanya berlaku dalam bentuk seni bina, peralatan dan budaya bukan kebendaan seperti kepercayaan, nilai dan adat resam.

Untuk nota yang lebih ringkas dan padat berkaitan kebudayaan, sila tekan link di bawah 👇👇👇

Comments

Popular posts from this blog

Pantun